Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa saya kurang meletakkan gambar-gambar perkahwinan yang dah dishoot seperti fotografer-fotografer lain untuk mempromosikan hasil kerja di blog ini. Untuk makluman, saya betul-betul menghormati anda sebagai pelanggan terutama yang beragama Islam.
Islam meletakkan satu garis panduan berkenaan cara merakam gambar pekahwinan. Perkahwinan dalam Islam adalah sesuatu yang suci dan adalah suatu ibadat mengikut sunnah nabi. Jangan pula dalam kita asyik berseronok untuk bersaing sesama fotografer , kita jadi alpa dan menjadikan ia suatu dosa. Fotografer juga seharunya lebih sensetif terhadap perkara ini kerana ia bersangkut paut dengan pendapatan yang anda perolehi untuk menyara hidup anda dan keluarga anda. Perkahwinan adalah untuk mendapat keredhaan dan barakah dari Allah, jadi seeloknya janganlah dicemari kesucian ikatan itu dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam. Sejujurnya saya tidak setuju sekiranya gambar perkahwinan ditunjukkan atau ditayangkan untuk santapan umum kerana kebanyakan mereka tidak menitik beratkan perkara-perkara seperti berikut :
- Pakaian yang dipakai oleh pihak pengantin : Sekiranya pakaiannya itu mendedahkan aurat secara jelas atau separuh terdedah, maka penggambaran itu adalah diharamkan jika diambil oleh jurugambar yang bukan mahram pada kedua-dua pengantin. Jika diambil oleh mahram kedua-duanya, maka tidaklah menjadi kesalahan dengan syarat gambar yang dipetik itu tidak disiarkan kepada awam sama ada di flicker, facebook, youtube, blog atau lainnya. Jika hanya untuk kenangan peribadi sahaja, maka dibolehkan.
- Berhias (tabarruj) : Dengan menampakkan aurat dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai adalah dilarang. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan janganlah kamu bersolek (berhias) seperti mana wanita jahiliyah berhias. Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)
Jadi, bersederhana adalah yang lebih baik. Boleh untuk berhias, tetapi biarlah ia kelihatan tidak keterlaluan. Bukankah itu lebih menjimatkan masa dan wang?
Antara sebab lain ialah apabila melihat niat tidak baik segelintir individu yang tidak bertanggung jawab, iaitu dengan mengambil gambar-gambar dan diedit supaya menjadi gambar yang tidak elok. Untuk mengelak atau sekurang-kurangnya mengurangkan dari terjadinya perkara sedemikian, saya mengambil inisiatif ini untuk tidak memuatkan gambar pelanggan saya di alam maya ini.
Jadi, saya menyediakan satu album dalam bentuk hardcopy kerana saya kira ia lebih eksklusif berbanding dipaparkan di laman sosial. Sekiranya anda berminat untuk melihat hasil-hasil kerja saya, cuma perlu pergi ke ruangan contact.
Apa yang saya katakan di sini bukanlah dengan tujuan untuk berceramah, tetapi sekadar peringatan kepada semua mengenai kehendak syariat Islam yang sebenarnya. Saya menghormati pelanggan saya dan tidak berniat untuk mengaibkan mereka.
Insyaallah, saya akan cuba memberikan hasil yang terbaik sesuai dengan kepuasan hati pelanggan saya. Terima kasih di atas kerjasama dari anda.