Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa saya kurang meletakkan
gambar-gambar perkahwinan yang dah dishoot seperti fotografer-fotografer
lain untuk mempromosikan hasil kerja di blog ini. Untuk makluman, saya
betul-betul menghormati anda sebagai pelanggan terutama yang beragama
Islam.
Islam meletakkan satu garis panduan berkenaan cara
merakam gambar pekahwinan. Perkahwinan dalam Islam adalah sesuatu yang
suci dan adalah suatu ibadat mengikut sunnah nabi. Jangan pula dalam
kita asyik berseronok untuk bersaing sesama fotografer , kita jadi
alpa dan menjadikan ia suatu dosa. Fotografer juga seharunya lebih sensetif terhadap perkara ini kerana ia bersangkut paut dengan pendapatan yang anda perolehi untuk menyara hidup anda dan keluarga anda. Perkahwinan adalah untuk mendapat
keredhaan dan barakah dari Allah, jadi seeloknya janganlah dicemari
kesucian ikatan itu dengan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam.
Sejujurnya saya tidak setuju sekiranya gambar perkahwinan ditunjukkan
atau ditayangkan untuk santapan umum kerana kebanyakan mereka tidak
menitik beratkan perkara-perkara seperti berikut :
- Pakaian yang dipakai oleh pihak pengantin : Sekiranya pakaiannya itu mendedahkan aurat secara jelas atau separuh
terdedah, maka penggambaran itu adalah diharamkan jika diambil oleh
jurugambar yang bukan mahram pada kedua-dua pengantin. Jika diambil oleh
mahram kedua-duanya, maka tidaklah menjadi kesalahan dengan syarat
gambar yang dipetik itu tidak disiarkan kepada awam sama ada di flicker,
facebook, youtube, blog atau lainnya. Jika hanya untuk kenangan
peribadi sahaja, maka dibolehkan.
- Berhias (tabarruj) : Dengan
menampakkan aurat dengan tujuan untuk dipamerkan kepada orang ramai
adalah dilarang. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan janganlah kamu
bersolek (berhias) seperti mana wanita jahiliyah berhias. Janganlah kamu
bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab:
33)
Jadi, bersederhana adalah yang lebih baik. Boleh untuk
berhias, tetapi biarlah ia kelihatan tidak keterlaluan. Bukankah itu
lebih menjimatkan masa dan wang?
Antara sebab lain ialah
apabila melihat niat tidak baik segelintir individu yang tidak
bertanggung jawab, iaitu dengan mengambil gambar-gambar dan diedit
supaya menjadi gambar yang tidak elok. Untuk mengelak atau
sekurang-kurangnya mengurangkan dari terjadinya perkara sedemikian, saya
mengambil inisiatif ini untuk tidak memuatkan gambar pelanggan saya di
alam maya ini.
Jadi, saya menyediakan satu album dalam bentuk
hardcopy kerana saya kira ia lebih eksklusif berbanding dipaparkan di
laman sosial. Sekiranya anda berminat untuk melihat hasil-hasil kerja
saya, cuma perlu pergi ke ruangan
contact.
Apa yang saya
katakan di sini bukanlah dengan tujuan untuk berceramah, tetapi sekadar
peringatan kepada semua mengenai kehendak syariat Islam yang sebenarnya.
Saya menghormati pelanggan saya dan tidak berniat untuk mengaibkan
mereka.
Insyaallah, saya akan cuba memberikan hasil yang
terbaik sesuai dengan kepuasan hati pelanggan saya. Terima kasih di atas
kerjasama dari anda.